PERUTUSAN PENGERUSI KOBANAS

HAMZAH BIN HAJI IBRAHIM
Pengerusi KOBANAS

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya kita dapat melaksanakan kewajipan mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke 32 selaras dengan peruntukan subseksyen 39(1) Akta Koperasi dan UUK 27 KOBANAS. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam mengurus dan mentadbir KOBANAS sekaligus membangkitkan semangat untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi.

Saya mewakili Anggota Lembaga Koperasi (ALK) mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Perwakilan yang hadir pada mesyuarat agung kali ini. Saya juga ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan ALK, Perwakilan dan Pengurusan KOBANAS yang terus memberikan kerjasama bagi memastikan KOBANAS berada dalam landasan, selaras dengan matlamat yang telah ditetapkan sebelum ini.

Tahun 2024 sekali lagi memperlihatkan KOBANAS terus dapat mengekalkan prestasi keuntungan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM4.051 juta. Keuntungan ini merupakan keuntungan yang tertinggi yang pernah dicatat oleh KOBANAS semenjak ianya ditubuhkan. Lanjutan daripada prestasi keuntungan ini, ALK telah bersetuju mencadangkan pembayaran dividen pada kadar 10% atas modal saham dan 8% atas modal yuran bulanan. Cadangan pembayaran dividen ini lebih baik daripada dividen tahun 2023.

Saya percaya dan yakin dengan kerjasama dan sokongan semua pihak terutama anggota KOBANAS,  prestasi pencapaian keuntungan ni akan dapat ditingkatkan pada masa hadapan dan secara tidak langsung ianya dapat memberi pulangan dividen yang lebih baik kepada anggota. Bagi memastikan prestasi ini terus meningkat, pihak ALK yang telah diberi amanah akan terus merangka dan merancang pelan strategik yang komprehensif bagi menentukan halatuju terutama perniagaan sediaada dan perniagaan yang akan diceburi pada masa akan datang.

Akhir kata, saya selaku Pengerusi KOBANAS ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta pihak ANGKASA yang sentiasa memberikan kerjasama, bimbingan dan sokongan kepada KOBANAS. Tidak lupa juga, kepada Pengurusan tertinggi BSN, pegawai serta kakitangannya yang selama ini memberi kerjasama dan sokongan kepada pihak KOBANAS.

Sekian, terima kasih.